Archive for October, 2009

Tip Membuat Pizza

Written by sofieyya on Oct 20th, 2009 | Filed under:

Piza



PIZA adalah antara sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kebanyakan daripada kita. Ia berasal dari Itali dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah, ia boleh didingin beku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam peti pembeku.

Ada tiga langkah utama dalam menyediakan piza. Pertama, bahagian dasar. Memandangkan doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.

Yis yang tidak aktif atau mati tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, piza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah dimasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.

Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangka masa yang agak lama.

Teknik ulian mesti betul bila membuat doh piza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotein tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.

Pelembut roti akan membuat doh piza lebih lembut.

manakala bread improver mempercepatkan proses mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.

Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos piza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan pada waktu lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh piza.

Bahan atas untuk piza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.

Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.

Selain keju mozarela, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Sebaik-baiknya anda parut terus ke atas piza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.

Jika sukar mendapatkan oregano kering dalam botol, boleh gantikan dengan Italian seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik piza. Sekiranya anda boleh memperoleh daun basil segar, taburkan di atas piza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.

Untuk menyimpan piza secara dingin beku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah. Kemudian barulah disimpan dalam peti pembeku. Biar piza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.

Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh piza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.



Bookmark and Share

Antara klasik Inggeris dan jati

Written by sofieyya on Oct 15th, 2009 | Filed under: *Decor Rumah*

Tema klasik Inggeris direalisasikan dengan cermat melalui pelekat motif bunga ros.



SINGGAH di Nilai 3, Negeri Sembilan boleh dikatakan sudah menjadi acara wajib sebulan sekali bagi Norjuliana Othman, 35. Dia gemar mencari dan meninjau perabot atau barang perhiasan di sana.

Walaupun begitu kerap berkunjung ke kedai perabot, laman WanitaMelayu.com yang menemukan ‘jodoh’ Norjuliana dengan tema klasik Inggeris yang semakin mendominasi kediamannya di Alam Damai, Cheras.


INGATAN Norazmi supaya Norjuliana tidak menghias kediaman mereka terlalu sarat membuatkan rumah teres ini tampak selesa.


“Sebelum ini kami pakai perabot jati dan kayu. Tapi sekarang kami nak cuba tema klasik Inggeris.

“Saya sukakan bunga, jadi apabila terjumpa komuniti dalam talian yang menghias rumah mereka dengan tema ini, saya terdorong untuk mencubanya,” kongsi anak kelahiran Terengganu ini.

Laman interaktif dalam bentuk forum itu, kata Norjuliana, turut memaparkan gambar rekaan dalaman rumah masing-masing, selain perkongsian maklumat tentang tempat perabot-perabot dibeli dan lokasi terbaik yang boleh dituju.


SELAIN menjadi tempat anak-anak bermain, teman-teman yang datang berkunjung juga boleh mengambil angin di sini.


Tema itu bagaimanapun melibatkan kos yang tinggi.

“Jadi kami buat peringkat demi peringkat. Kami pun sentiasa memikirkan cara untuk mengurangkan kos,” katanya yang menambah laman itu turut membolehkan ahli-ahlinya saling berkongsi tentang cara alternatif untuk mengurangkan kos bagi pengubahsuaian.

Antaranya termasuklah menggunakan pelekat decal yang mempunyai motif bunga ros merah dan putih yang amat sinonim dengan tema pilihan.


DARIPADA membiarkan laman yang luas ini kosong, Norjuliana berpendapat wakaf ini dapat menyuntik kelainan.


PERHIASAN buluh dalam pasu yang ringkas dan kemas.



Membelek dari dekat, penulis mendapati pelekat berkenaan sukar untuk dikesan sebagai bahan tampalan kerana ia tidak menggunakan material licin dan berkilat yang lazim.

“Tetapi kalau sudah namanya pelekat, tak mustahil ia boleh tertanggal semula kelak,” ujarnya yang menjelaskan kos pelekat berkenaan bermula serendah 50 sen hingga berpuluh ringgit sahaja.

Tidak lupa ingatan suami, Norazman Zam Zam, 42, yang tidak mahu rumah terlalu sarat dengan tema berbunga itu, Norjuliana berkata langkah sedikit demi sedikit yang diambil dilihatnya mendapat ‘restu’ suami.

“Semua hiasan di dalam rumah ini saya buat sendiri. Selepas buat satu, saya sangkut atau letak di mana-mana sudut. Jadi tidaklah berlaku mendadak. Mungkin sebab itu dia tak terkejut atau bantah apa yang saya buat,” kata Norjuliana.


ELEMEN kayu terutama jenis jati membuatkan ruang tamu ini kelihatan lebih eksklusif.


HAMPIR kesemua perhiasan yang dapat dilihat di dalam rumah ini dihasilkan sendiri oleh tuan rumah.





Mendedahkan mereka berdua bekerja di dua bank berasingan, kedua-duanya mempunyai banyak masa lapang bersama.

“Jadi banyak yang kami boleh buat sendiri bersama. Dinding rumah pun suami saya yang cat,” tambahnya lagi.

Meneliti dinding yang disapu cat berwarna hijau dan kuning, serta perhiasan yang digantung pada dinding, ternyata kedua-duanya memiliki kreativiti seni yang tinggi tatkala dapat menunjukkan kerja tangan yang teliti.

Malah mengecat perabot kayunya serba putih boleh dikatakan sebagai satu langkah berani memandangkan tindakan itu mungkin tidak dapat mengembalikan karakter asli kayu tersebut.

Tema klasik Inggeris dan jati ini tidak menuntut perhatian yang banyak. Kata Norjuliana, ia cukup sekadar mengelap perabot-perabot sekali dalam seminggu.

Rumah teres dua tingkat yang memuatkan empat bilik tidur ini turut menghamparkan laman yang menarik. Mendirikan sebuah wakaf dan pergola di depan rumah, lantai laman dipenuhi dengan rumput permaidani yang dijaga rapi.

“Wakaf ini kami dirikan memikirkan untuk memaksimumkan penggunaan laman depan. Apabila melihat laman jiran-jiran yang dibiarkan kosong, kami memikirkan betapa ruginya jika kami melakukan perkara yang sama.

“Dengan adanya wakaf ini, teman-teman dan saudara-mara tidak lagi merokok di dalam rumah. Anak-anak kalau nak bermain pun bermain di luar saja,” kata Norjuliana.

Bookmark and Share

Copy Protected by Chetan's WP-CopyProtect.